Ramai yang mempunyai masalah tidur, sukar untuk melelapkan mata walaupun telah cuba berkali-kali untuk memejamkan mata.
Tetapi ada yang mengatakan dengan memakai stokin akan membuatkan kita cepat tidur. Betul ke?
Menurut kajian oleh sebuah pusat perubatan pada 2007 mendapati, orang dewasa yang memakai stokin yang hangat (heated socks), akan tidur lebih cepat dari biasa.
Ini kerana dengan memakai stokin, akan dapat mengatur suhu badan seseorang. Suhu badan akan turun pada waktu malam sehingga mencapai suhu terendah pada awal pagi.
Ianya terjadi kerana tubuh menyimpan tenaga untuk pelbagai fungsi. Kaki dan tangan yang hangat akan menjadikan pembuluh darah membesar. Suhu panas akan dilepaskan melalui kulit dan membantu menurunkan suhu dalaman badan.
Keadaan ini akhirnya akan mengirim pesanan ke otak bahawa sudah sampai waktu untuk tidur.
Kajian turut menunjukkan bahawa kulit yang hangat sangat berkaitan dengan tidur lebih cepat. Tetapi tentunya ia lebih terdorong kepada mereka yang tidur di dalam bilik bersuhu sejuk.
Menetapkan suhu tubuh yang baik juga merupakan alasan mengapa kita disarankan tidur dalam bilik bersuhu sejuk antara 16 hingga 20 darjah Celsius.
Tidak suka pakai stokin semasa tidur
Alternatif lain yang boleh digunakan selain dari stokin agar kaki tetap hangat ialah:
- Dengan merendam kaki ke dalam air hangat sebelum tidur.
- Menggunakan selipar hangat sebelum ke katil.
- Letakkan botol berisi air hangat berdekatan dengan kaki semasa tidur.
- Selimut bahagian kaki semasa tidur.
- Mandi satu atau dua jam sebelum tidur.
Selain membuatkan anda cepat tidur, stokin juga dapat membantu mencegah serangan penyakit Raynaud iaitu kebas pada bahagian kaki kerana darah tidak dapat mengalir ke bahagian tersebut.
Malah, tidur dengan sarung kaki turut membantu dari terjadinya “hot flashes” atau “hot flushes” iaitu perasaan panas yang datang secara tiba-tiba kepada wanita yang sedang menopaus disebabkan oleh pertukaran hormon.